Pahang Bikers Iringi Finalis(2/3/08)
Oleh Suzan Ahmad(Berita Minggu)
WAJAH ceria sebahagian finalis ABPBH 2007 selepas dijamu makan malam di Zoom Rider Cafe.Artis dibawa membonceng motosikal kuasa besar ke ruang legar Kuantan Parade GEMPAR seketika orang Kuantan hari minggu lalu. Bukan ribut petir, jauh sekali tanda banjir gelombang kedua bakal melanda sebaliknya keriuhan itu datang daripada konvoi 20 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Pahang Bikers yang mengiringi rombongan hampir 20 artis popular dalam rangka siri jelajah promosi bersempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007. Lokasi keempat kali ini ialah Kuantan Parade, Pahang ternyata tidak menghampakan. Berbanding KB Mall, Kota Bharu; Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu dan Dataran Pahlawan, Melaka, kemungkinan faktor dua tahun tidak disinggahi rombongan promosi ABPBH sedikit sebanyak menyumbang terhadap sambutan hangat peminat dari sebelah pantai timur kali ini. Sekurang-kurangnya terubat juga rindu mereka.
Tidak dinafikan juga kerja promosi yang dilunaskan petugas ABPBH 2007 sehari sebelum (Sabtu) persembahan berlangsung di pusat beli belah terkenal itu. Kalau tidak, mana mungkin sebaik Ekspres Mara Liner, pengangkutan rasmi ABPBH edisi ke-21 ini membuat grand entrace penuh bergaya di perkarangan Kuantan Parade bersama konvoi Pahang Bikers, semua 17 artis diserbu peminat yang setia menanti seawal jam 11 pagi lagi.
Ada yang tergamam tidak kurang yang seronok sakan melihat artis kesayangan mereka membonceng motosikal berkuasa besar ke Kuantan Parade. Jangan terkejut kerana pengacara, dramatis dan penyanyi popular, Raja Azura berani menunggang satu motosikal jenis easy rider sambil dibonceng Ameer Sofaz. Itu belum lagi tepuk sorak dan laungan sokongan peminat sebaik artis bergerak masuk ke ruang legar tempat acara persembahan pentas berlangsung. Kerja promosi konsert jelajah ABPBH 2007 bermula sejak Sabtu lagi. Selain dihiburkan penyampai radio popular yang juga petugas ABPBH 2007, Isma Halil Hamzah bersama bakat baru yang mula hendak bertatih dalam arena seni suara, Iqwal Hafiz, turut dianjurkan pertandingan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak. Namun, kemuncak segala-galanya sudah semestinya pertandingan karaoke yang dinamakan Karaoke Bintang Popular Kuantan yang mendapat sambutan mengejutkan. Khabarnya kerana terlalu ramai, ada peserta sanggup membayar semata-mata untuk menyertai peraduan dianjurkan secara percuma ini. Pemenang acara karaoke diberikan hadiah berupa hamper dan barangan eksklusif Berita Harian. Kenangan terindah tercipta di Kuantan bukan saja dari segi sambutan peminat, malah layanan orang perseorangan seperti pemilik Zoom Rider Cafe, Shamsul Zumir Shahrir yang terletak di Lorong Ismail 12, Kuantan. Beliau juga ialah Presiden Kelab Pahang Bikers sudi menaja sepenuhnya makan malam rombongan ABPBH 2007 sebaik konsert berakhir. Semua 20 penunggang motosikal berkuasa besar berjaya dikumpulkan hasil usaha rocker Bard R1 (finalis Artis Baru Lelaki Popular) turut serta menjamu selera. Tidak ketinggalan makan malam dan tengah hari oleh Cafe Jelita milik Mohd Azman Azhar yang terletak di Jalan Haji Abdul Aziz, Kuantan. Hidangan pencuci mulut seperti tapai pulut dan Puding Diraja, tidak mungkin dapat dilupakan. Lebih bermakna lagi apabila peluang untuk mengumpulkan artis seperti Jaclyn Victor, Sheila Rusly, Hazami, Raja Azura, Kristal, Sofaz, Azwan Ali, Mila, Farah Asyikin, Bard R1, Fouziah Gous dan Julia Ziegler diambil petugas ABPBH 2007 untuk meraikan sambutan hari jadi buat Acap dan Rody dari kumpulan Kristal. Jelajah konsert ke Kuantan ini turut digamatkan lagi dengan pembabitan tiga penyampai saluran radio rasmi ABPBH 2007, HotFM iaitu AG, Leya dan Ikhwan.
Comments