Lapang sasar RM14 juta bakal dibina

Lapang sasar RM14 juta bakal dibina

Kredit:Sinar Harian Online

KUANTAN - Lapang Sasar Kompleks Majlis Sukan Pahang (Sukpa), Indera Mahkota bakal berubah wajah apabila bangunan sedia ada akan diganti dengan pembinaan sebuah bangunan baru serba lengkap tidak lama lagi.

Bangunan dua tingkat dianggarkan menelan kos RM14 juta itu akan dibina sebagai venue utama acara menembak sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2012.

Timbalan Presiden Persatuan Menembak Pahang, YM Tengku Razlan Shah Tengku Ahmad berkata, selain kemudahan lapang sasar, bangunan itu juga akan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan atlet.

“Bangunan baru itu amat signifikan dengan perkembangan semasa sukan menembak Pahang yang terkenal dengan kecemerlangan atlet menembak dalam Temasya Sukma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Menembak Piala YM Tengku Razlan Shah di Lapang Sasar Kompleks Sukpa, semalam.

Turut hadir Naib Presiden, Datuk Jonny Ch’ng, Shamsul Zumir Shahrir, Setiausaha, Nordin Che Lah dan barisan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Persatuan dan peserta.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, persatuan itu kini giat merangka program dan aktiviti dalam usaha menarik penyertaan orang ramai untuk menjadi ahli.

Menurutnya, persatuan yang ditubuhkan sejak 1976 itu kini mempunyai kira-kira 300 ahli aktif dan jumlah itu akan ditingkatkan dari masa ke semasa.

“Persatuan Menembak Pahang antara yang aktif di negara ini justeru itu ramai ahli dari luar turut menyertainya dan ini satu perkembangan yang menggalakkan.

“Selain itu kita juga mendapat sokongan kuat daripada Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Pahang,” katanya.

Beliau berkata, lapang sasar milik persatuan itu di atas tanah seluas 20 ekar di Bukit Rangin di sini boleh dimanfaatkan ahli sebagai platform latihan bagi memantapkan kemahiran bidikkan masing-masing.

“Persatuan juga merancang mengadakan lebih banyak pertandingan menembak sebagai salah satu strategi menarik penyertaan ahli baru.

Menurutnya, persatuan juga bercadang untuk menganjurkan pertandingan setiap tiga bulan bersama agensi penguat kuasa di sini.

Justeru itu, beliau menyeru orang ramai yang berminat untuk turut serta sebagai ahli kerana pengalaman memegang pistol dan senjata api tidak semua boleh merasainya.

Comments

edie said…
Bagaimana ingin menyertai kelab menembak ni,,

Popular posts from this blog

Honda Goldwing 1800

Tengku Arif Temenggong Pahang II

Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Menembak Negeri Pahang ( Pahang Shooting Association ) 2010-2012